STU desak KPM segera tutup sekolah di Zon Merah di Sarawak

STU desak KPM segera tutup sekolah di Zon Merah di Sarawak

Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menutup segera semua sekolah di zon merah di Sarawak bagi mengelak wabak Covid-19 merebak, kata Kesatuan Guru Sarawak (STU).

Presidennya Adam Prakash Abdullah berkata, peningkatan jumlah kes di negeri itu amat membimbangkan kerana ia menjangkiti lebih ramai pelajar dan guru.

“Bilangan guru yang terlibat (dijangkiti atau dikuarantin) bertambah sejak pembukaan sekolah secara meluas bulan lepas,” katanya kepada FMT, walaupun tidak memberikan angka tepat kes yang dimaksudkan.

Beliau berkata, guru juga mempunyai tanggungjawab tambahan dalam memastikan pelajar mematuhi langkah pencegahan Covid-19.

Mereka ada tanggungjawab tambahan seperti memantau ketibaan pelajar dan menyelia mereka semasa rehat. Guru juga terdedah kepada risiko jangkitan di sekolah. Ia tugas sukar bagi mereka,” katanya.

Beliau berkata, kementerian harus membenarkan sekolah kembali kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah sehingga keadaan wabak di Sarawak kembali terkawal.

Selain itu, beliau menggesa pengetua sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah tidak menyembunyikan maklumat mengenai kes Covid-19 di sekolah kerana ia tidak akan membantu mengawal keadaan.

Presiden Persatuan Lembaga Pengurusan sekolah rendah bantuan di Kuching, Samarahan dan Serian, Jonathan Chai juga bersetuju agar kementerian mengkaji semula dasar umumnya kerana keadaan mungkin berbeza di tempat yang berlainan di negara ini.

Beliau berkata, kementerian harus membenarkan sesebuah sekolah ditutup segera apabila pelajar atau guru didapati positif Covid-19.

Katanya, beliau sedar bahawa kaedah pembelajaran secara maya di rumah kurang berkesan berbanding sesi bersemuka.

Ibu bapa yang bekerja juga berdepan masalah untuk bekerja dan pada masa sama menjaga anak-anak di rumah jika sekolah ditutup semula.

Bagaimanapun katanya, kesihatan dan keselamatan pelajar dan guru mestilah diberi keutamaan.

“Sudah tiba masanya KPM menimbangkan penutupan semua sekolah di zon merah di Sarawak, seperti di Kuching, Bintulu dan Sibu, yang mencatatkan bilangan kes Covid-19 yang tinggi.”

Pada Selasa, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, kadar kebolehjangkitan (Rt) di negeri itu meningkat kepada 1.1 semalam berbanding 1.08 pada hari sebelum itu, iaitu lebih tinggi daripada angka kebangsaan 1.06.

“Rt 1.1 bermakna 10 orang boleh menjangkiti 11 yang lain. Bilangan kes di Sarawak juga meningkat sejak Januari,” katanya.

Beliau berkata, Sarawak merekodkan 39 kluster komuniti dan 17 kluster tempat kerja sejak Januari.

Katanya, 21 kluster komuniti di negeri itu berpunca daripada perhimpunan keluarga, acara sosial dan parti hari jadi.

Jumlah kes harian Covid-19 di Sarawak adalah antara yang tertinggi di seluruh negara sejak beberapa hari lepas.

COMMENTS