PKPB di Bintulu Bermula hari ini hingga 27hb April

PKPB di Bintulu Bermula hari ini hingga 27hb April

Bahagian Bintulu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dengan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan selama 14 hari, bermula esok sehingga 27 April nanti.

Menteri Utiliti Sarawak Dato Sri Stephen Rundi Utom berkata, pihaknya bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu yang dipengerusikan Residen Bintulu, Jack Aman Luat, mengambil keputusan sedemikian bagi memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

“Hasil perbincangan yang dijalankan bersama agensi berkaitan telah memutuskan bahawa PKPB (SOP diperketatkan) ini akan kita laksanakan di Bintulu selama 14 hari,” ujarnya.

Dr Rundi berkata demikian dalam sidang media menghadiri mesyuarat pengurusan bencana pandemik COVID-19 Bahagian Bintulu di Pejabat Residen Bahagian Bintulu, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan COVID-19 (Rt-PCR) yang wajib diambil oleh setiap individu yang datang dari luar kawasan Bintulu bermula 5 April lalu, masih berkuat kuasa sehingga 18 April.

Mengulas mengenai intipati PKPB SOP diperketatkan ini, beliau berkata bsekolah di kawasan luar bandar masih lagi dibenarkan dibuka iaitu sesi pembelajaran secara bersemuka kerana tidak mempunyai jaringan internet yang baik.

Walaupun begitu katanya, pematuhan SOP yang ketat harus dipraktikkan sebagai usaha mengekang penularan wabak pembunuh itu.

Manakala bagi sekolah di kawasan bandar pula ujarnya, dicadang menjalankan kelas secara dalam talian menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah (PdPR).

“Bagi tujuan itu, kita akan meminta pihak Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu untuk mengemukakan cadangan kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak bagi menimbangkan pembelajaran secara online ini,” ujar Rundi.

Menyentuh mengenai sektor ekonomi sepanjang tempoh PKPB SOP Diperketatkan selama 14 hari ini, Dr Rundi berkata semua premis termasuk premis makanan termasuk restoran dan kedai kopi dibenarkan untuk dibuka dari jam 6 pagi hingga 8 malam.

Menurutnya, premis makanan hanya dibenar menawarkan perkhidmatan makanan secara bungkus sahaja termasuk perkhidmatan penghantaran, tetapi tidak dibenarkan menerima pelanggan untuk menjamu selera di premis.

Bagi stesen minyak pula, ianya sebagaimana premis lain dibenar beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam setiap hari.

Dalam pada itu ujarnya, farmasi dibenarkan dibuka dari jam 6 pagi hingga 10 malam setiap hari kerana ianya merupakan perkhidmatan perlu.

Sumber berita

https://www.utusanborneo.com.my/2021/04/13/bintulu-laksana-pkpb-dengan-sop-diperketatkan-selama-14-hari-mulai-esok

COMMENTS