Menteri Umno dalam kerajaan PN mengekalkan agenda PH Kata Shahrir Samad

Menteri Umno dalam kerajaan PN mengekalkan  agenda PH Kata Shahrir Samad

Menteri dan timbalan menteri Umno gagal membawa perubahan positif dan tidak berbuat apa-apa dalam kerajaan pimpinan Perikatan Nasional, kata veteran parti itu, Shahrir Samad.

Bekas menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna itu juga mendakwa bahawa Ahli Parlimen Umno dalam pentadbiran Muhyiddin Yassin mengekalkan agenda Pakatan Harapan.

Dengan memetik contoh Tabung Haji, beliau berkata, cara ia diuruskan sekarang tidak berbeza dengan apa yang dilakukan dalam kerajaan terdahulu.

Shahrir juga membangkitkan kembali isu kematian anggota bomba Muhammad akibat cedera semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya tiga tahun lalu, sebuah kes yang masih belum dapat diselesaikan.

“Itu maknanya kita tak konsisten, retorik sebagai pembangkang, kita lupakan isu-isu ini bila naik jadi kerajaan. Ini politik jenis apa?” kata Shahrir, seperti dipetik Utusan Malaysia.

Dalam konteks ini, Shahrir bersetuju dengan bekas timbalan perdana menteri Musa Hitam yang berkata bulan lalu bahawa beberapa pemimpin politik hanya “main masak-masak”.

Beliau selanjutnya berkata, rakyat tidak peduli sama ada wakil rakyat Umno memegang jawatan atau tidak, tetapi menekankan bahawa apabila seseorang memegang jawatan, ia harus membawa perubahan positif.

Komen Shahrir menyusuli gesaan beberapa pemimpin Umno agar Ahli Parlimennya melepaskan jawatan menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan selepas Umno memutuskan untuk bergerak solo pada pilihan raya umum ke-15.

Muhyiddin kemudian mengumumkan bahawa semua menteri dan timbalan menteri Umno bersetuju untuk kekal dalam Jemaah Menteri kerajaan PN buat masa ini, atas nasihat beliau untuk berbuat demikian demi kepentingan rakyat dan negara.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob juga berkata, perhimpunan agung Umno baru-baru ini tidak meluluskan sebarang resolusi mengarahkan ahlinya melepaskan jawatan dalam Jemaah Menteri atau sebarang jawatan mereka dalam kerajaan.

Sumber berita

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/03/ahli-parlimen-umno-dalam-kerajaan-tiada-faedah-kata-shahrir/

COMMENTS