Malaysia masih kekal menjadi pilihan pelabur asing Kata Azmin

Malaysia masih kekal menjadi pilihan pelabur asing Kata Azmin
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan bahawa Malaysia kekal menjadi destinasi pelabur asing bernilai tinggi meskipun ada pihak mendakwa sebaliknya.
Jelasnya, ia terbukti dengan pelaburan bernilai RM4 bilion oleh syarikat gergasi teknologi global Microsoft hari ini.
“Saya sentiasa mendengar pelabur-pelabur masih kekal keyakinan mereka meletakkan pelaburan di Malaysia dan negara ini menjadi hab pelaburan mereka.

Hari ini terbukti Microsoft bersetuju meletakkan pelaburan besar dan akan latih satu juta rakyat dalam bidang teknologi sehingga tahun 2025,” katanya.

Azmin berkata demikian selepas mengiringi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir solat sunat tarawih dan Program Mensuci Ruhiyyah Mengikat Ukhuwwah Parlimen Gombak di Masjid Jamek Al-Amaniah di Batu Caves pada Isnin malam.
Mengulas lanjut, Azmin berkata, selain menarik lebih banyak pelabur, negara juga tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada tenaga kerja asing.
Sebaliknya, beliau berkata sudah tiba masanya industri di negara ini beralih kepada tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi.
“Kita tak mahu pelaburan bersandarkan insentif pekerja asing, hari ini kita terlalu bergantung tenaga kerja asing.
“Kita mesti segera beralih kepada pelaburan berteknologi tinggi dan berkualiti supaya memberikan pekerjaan kepada rakyat.
“Maka kita perlu harus menyediakan tenaga kerja berkemahiran dan bakat-bakat memenuhi permintaan industri,” katanya lagi.
Azmin berkata, beliau akan membentangkan perkara berkenaan dalam mesyuarat Kabinet mengenai Dasar Pelaburan Baharu pada Rabu ini.

Sumber berita

https://www.astroawani.com/berita-bisnes/pelabur-asing-masih-kekal-keyakinan-melabur-di-malaysia-azmin-294131

COMMENTS