Institusi pengajian tinggi,sekolah dan taska di Zon Merah Sarawak diarah tutup 2 minggu

Institusi pengajian tinggi,sekolah dan taska di Zon Merah Sarawak  diarah tutup 2 minggu

Semua institusi pengajian tinggi, sama ada awam atau swasta, serta sekolah antarabangsa di kawasan zon merah COVID-19 di Sarawak akan ditutup selama dua minggu mulai esok (20 April).

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata institusi pendidikan lain yang terletak di kawasan zon merah COVID-19 seperti taska, tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, Politeknik dan pusat tuisyen juga akan ditutup.

“Seperti diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak hari ini, pengoperasian Institusi Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan semua kategori Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM termasuk sekolah antarabangsa yang berada di kawasan zon merah adalah ditutup.

“Penutupan ini berkuat kuasa selama 14 hari iaitu dari 20 April 2021 sehingga 3 Mei 2021. Arahan ini termasuk penutupan di taska, tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, politeknik, universiti (awam dan swasta) dan pusat tuisyen,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

JPBNS menambah, hanya pelajar yang sedang menduduki ujian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) adalah dibenarkan menghadiri sekolah untuk mengambil ujian.

Pelajar yang sedang menduduki peperiksaan ini katanya, perlu merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) sekolah masing-masing.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan Kerajaan Sarawak membuat keputusan untuk menutup semua sekolah di zon merah berkuat kuasa hari ini.

Katanya, terdapat jangkitan Covid-19 di kawasan sekolah yang mungkin dibawa oleh ibu bapa atau ibu bapa dijangkiti oleh anak dari sekolah dan juga guru.

Maka jelasnya, keputusan penutupan sekolah di zon merah ini adalah demi keselamatan anak-anak dan masyarakat.

Mengenai status daerah di Sarawak, JPBNS berkata, hari ini daerah Sri Aman dan Bukit Mabong telah bertukar status kepada zon merah daripada hingga setelah masing-masing merekodkan sejumlah 50 kes dan 44 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Ini menjadikan jumlah daerah berstatus merah telah meningkat kepada 20 daerah.

Selain Sri Aman dan Bukit Mabong, daerah zon merah ialah Belaga, Kanowit, Selangau, Saratok, Subos, Matu, Mukah, Sarikei, Beluru, Samarahan, Serian, Julau, Meradong, Kuching, Kapit, Bintulu, Miri dan Sibu.

Daerah Tatau pula telah bertukar status daripada status kuning kepada status jingga setelah merekodkan sejumlah 33 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Jumlah daerah berstatus jingga sebanyak lima daerah. Manakala 11 daerah berstatus kuning dan empat daerah kekal berstatus hijau,” katanya.

Sumber berita

https://amp.utusanborneo.com.my/2021/04/19/institusi-pengajian-tinggi-sekolah-antarabangsa-di-zon-merah-ditutup-mulai-esok

COMMENTS