Gagal kurangkan jumlah jangkitan Covid-19 Lim kit Siang desak adham letak Jawatan

Gagal kurangkan jumlah  jangkitan Covid-19 Lim kit Siang desak adham letak Jawatan

Veteran DAP Lim Kit Siang mendesak Menteri Kesihatan Dr Adham Baba agar fokus kepada usaha mengurangkan jumlah jangkitan Covid-19 dalam negara.

“Hentikan permainan semantik dan turunkan (jumlah jangkitan) kepada dua angka, atau letak jawatan!” desak Lim dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Adham berkata, negara masih lagi mengharungi gelombang ketiga wabak dan belum memasuki gelombang keempat wabak itu.

Menurut beliau, sesuatu penularan hanya dianggap gelombang seterusnya sekiranya jangkitan tempatan ketika gelombang semasa sudah mendatar atau mencatat kes sifar selama beberapa hari sebelum berlaku peningkatan kes baharu secara mendadak

Mengikut definisi Adham, bahawa gelombang keempat hanya boleh terjadi apabila negara berjaya mencatat sifar kes dalam gelombang ketiga, maka takkan ada gelombang keempat di Malaysia.

“Boleh Adham nyatakan, berapa hari sejak setahun lalu bilangan kes harian dicatatkan sifar?” soal Kit Siang.

Tambah beliau, kenyataan Adham itu hanya akan menimbulkan kebimbangan rakyat bahawa negara ini akan mengalami gelombang keempat wabak sebelum gelombang ketiga dapat dikawal.

Sejumlah 2,331 kes baharu Covid-19 dicatatkan semalam, iaitu hari ketiga berturut-turut jangkitan harian melepasi paras 2,000.

Kata Kit Siang, sejak lebih setahun berdepan wabak Covid-19, Malaysia adalah satu-satunya negara yang mempunyai menteri kesihatan yang tidak berwibawa, dengan mengeluarkan kenyataan “air suam menyembuhkan Covid-19” dan “15 negeri dalam Malaysia”.

“Sekarang beliau mendakwa Malaysia tidak akan menghadapi gelombang keempat wabak Covid-19 kecuali gelombang ketiga mencatatkan sifar kes harian terlebih dahulu.

“Adakah itu jawapan terbaik Adham terhadap seruan saya supaya Parlimen bersidang semula untuk menangani gelombang keempat Covid-19 di Malaysia?

“Patutlah #kerajaangagal dapat sambutan di Twitter,” sindir Lim.

Sumber Berita

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/18/fokus-kurangkan-kes-covid-19-atau-letak-jawatan-kit-siang-beri-amaran-kepada-adham/

COMMENTS